November 28, 2010

ERTI KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA

Dalam diri setiap anak Adam, ada Tuhan bekalkan berbagai-bagai jenis
perasaan. Perasaan-perasaan ini bersifat batiniah dan tempatnya di
dalam hati. Yakni di dalam roh. Salah satu daripada perasaan itu ialah
rasa kasih sayang.



Apakah definisi rasa kasih sayang? Rasa kasih sayang ialah cenderung
dan tertariknya hati seseorang secara mendalam kepada seseorang yang
lain. Atau kepada selain manusia yakni benda-benda dan makhluk-makhluk
lain. Atau hati manusia juga boleh jatuh cinta kepada ALLAH tapi ini
jarang berlaku.



Di sini kita hendak mengkhususkan tentang kasih sayang sesama manusia.
Sebab ianya utama dan penting pada manusia itu sendiri selain mereka
mesti cintakan ALLAH yang memang lebih utama dan agung.



Jadi fokus utama untuk dihuraikan secara lebih luas ialah tentang cinta
sesama manusia. Berlakunya kasih sayang atau kecenderungan hati yang
mendalam oleh seseorang kepada seseorang yang lain ada sebab-sebabnya.
Iaitu kerana ada daya tarikan yang menyenangkan dan menenangkan
hatinya. Daya tarikan itu ada berbagai-bagai.



Ada yang bersifat semulajadi dan ada yang bersifat `aradhi'
(mendatang). Di antara perkara-perkara yang menarik hati manusia kepada
manusia lain ialah kecantikan, ilmu, kepimpinan, jasa, hubungan darah,
kekuatan, akhlak dan lain-lain. Kerana faktor-faktor inilah manusia
tertarik dengan manusia yang lain. Maka tumbuhlah rasa kasih sayang
sedikit demi sedikit hingga mendalam. Bila rasa itu kian mendalam, ia
disebut cinta. Bila cinta sudah mendalam, seseorang itu akan jadi asyik
mahsyuk atau mabuk cinta. Ada orang, kerana tidak boleh lagi kontrol
cintanya, terus menjadi gila.



Dengan perasaan kasih sayang, seseorang akan menumpukan perhatian,
perasaan dan jiwa raganya kepada orang yang disayanginya.
Bermacam-macam pengorbanan akan dibuat terhadap kecintaannya. Tidak ada
rasa susah padanya dalam usaha-usaha dan pengorbanan itu, walaupun
orang lain melihatnya susah sekali dan keterlaluan. Seorang wanita
sanggup lari meninggalkan keluarga demi cinta kepada lelaki calon
suaminya. Dia rela menghadapi risiko dihina dan dibenci oleh keluarga
dan masyarakat.



Sebagaimana sebab-sebab tumbuhnya kasih sayang itupun berbagai-bagai
maka sifat dan kesan kasih itu juga berbeza-beza. Bergantunglah kepada
siapa dan mengapa kasih itu tumbuh. Kasih kepada ibu bapa tidak sama
dengan kasih pada isteri-isteri. Kasih kepada anak-anak tidak sama
dengan kasih pada kawan. Kasih pada guru tidak sama dengan kasih pada
saudara-mara. Kasih pada pemimpin tidak sama dengan kasih pada
pengikut. Kasih pada bangsa tidak sama dengan kasih pada harta. Kasih
pada agama tidak sama dengan kasih kepada bangsa. Maha Suci ALLAH yang
menciptakan dalam ruang seketul hati yang sempit itu rasa kasih yang
berbagai sifat dan rupanya!



Akibat berbeza sifat dan rupanya, maka berbeza pula kesan dan akibat
kasih itu. Ada kasih sayang yang kekal dan bertambah di dalam hati. Ia
tidak diganggu atau dicacatkan oleh rasa jemu dan hambar kecuali dengan
sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun ada kasih sayang yang
dirosakkan oleh rasa jemu dan benci. Maka ia tidak kekal bahkan
berkurang dan mungkin hilang. Kasih pada pemimpin membuatkan seseorang
pengikut menyerahkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.
Kasih pada pengikut membuatkan seseorang pemimpin berkorban memberi
khidmat dan kasih sayang tanpa sebarang kepentingan dan rasa letih
serta jemu. Kasih kepada isteri membuatkan suami bersifat
bertanggungjawab. Manakala kasih pada suami menjadikan isteri sedia
taat, patuh dan melayan suami sesungguh hati. Kasih pada guru
membuatkan murid gigih belajar dan mengamalkan ajarannya. Manakala
kasih pada murid menjadikan guru-guru hilang letih untuk mendidik dan
mengajar hingga muridnya berjaya. Kasih pada ibu bapa membuatkan
anak-anak sangat menjaga hati orang tuanya. Manakala kasih kepada
anak-anak menjadikan ibu bapa rela berbuat apa saja untuk anak-anaknya.



Demikianlah kesan adanya kasih sayang. Ia membuatkan manusia seperti
terikat satu sama lain. Lalu akan saling memberi dan menerima secara
suka dan rela. Orang yang saling menyayangi rasa bersalah kalau tidak
dapat memberi kasih sayang walau dalam apa bentuk sekalipun. Berkorban
dan bersusah-susah untuk yang disayangi adalah kebahagiaan, kepuasan
dan hiburan.



Sedangkan tanpa kasih sayang, pengorbanan dibuat secara terpaksa,
menjadikan ia amat berat dan menyeksakan manusia. Seorang murid yang
buat kerja guru dengan rasa cinta pada guru, akan membuatnya dengan
sepenuh hati, ghairah dan bahagia. Dia tidak jemu dan tidak letih. Dia
akan berbuat lebih dari yang diperintahkan. Sebaliknya murid yang buat
kerja guru dalam keadaan terpaksa, sedangkan dia benci pada guru itu,
akan rasa berat dan jemu. Al hasil, kerjanya jadi tidak sempurna.



Demikianlah juga keadaan rakyat terhadap pemerintah, pengikut terhadap
pemimpin dan sebaliknya. Begitu jugalah isteri terhadap suami,
anak-anak terhadap ibu bapa dan manusia terhadap manusia lainnya.



Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa cinta dan kasih para
Sahabat yang sungguh mendalam terhadap Rasulullah SAW dan sebaliknya,
telah membuatkan mereka berjuang dan berkorban habis-habisan. Hingga
nyawa pun sanggup dikorbankan demi cinta. Al hasil dalam tempoh yang
sekejap sahaja, Islam telah membentuk negara dan empayar kepada tiga
perempat dunia.



Demikian bukti bahawa dengan cinta, manusia rela mengorbankan lebih
masa dan tenaga hingga memperolehi hasil yang luar biasa. Sedangkan
tanpa cinta, sesuatu kerja itu dibuat dengan sambil lewa dan hasilnya
mengecewakan! Sebab itu kita mesti pandai mengisi ruangan daripada rasa
kasih sayang dan cinta ini. Ia sangat besar manfaatnya kepada kehidupan
manusia. Kita patut usahakan agar tumbuh kasih sayang sesama manusia
supaya buahnya yang lebat lagi manis itu dapat kita kecapi bersama.



Tapi sayang sekali hari ini, dunia sudah ketandusan kasih sayang. Orang
miskin tidak sayang pada orang kaya, rakyat tidak sayang pada raja atau
ketua negaranya, masyarakat tidak sayang pada ulama, bahkan anak-anak
tidak sayangkan ibu bapa dan isteri tidak menyayangi suami.
Benci-membenci jadi budaya tradisi yang membuatkan manusia terhina
dengan segala bentuk krisis dan masalah sesamanya. Kakitangan pejabat
mencaci-caci boss mereka di belakangnya. Orang politik dimaki hamun
oleh pengundinya, ulama dihina-hina oleh masyarakat, menteri-menteri
dimusuhi oleh berbagai lapisan masyarakat dan jadi bahan bualan yang
negatif.



Demikian seterusnya yang berlaku dalam realiti hidup hari ini akibat
tidak adanya sifat-sifat yang cantik untuk membuat manusia saling jatuh
hati dan sayang-menyayangi. Mana kasih sayang pengikat perpaduan
manusia? Mana keharmonian hidup, ketenangan serta kepuasan? Kita rindu
untuk melihat orang kaya mengasihi orang miskin dan si miskin membalas
kasih si kaya. Hinggakan mereka bekerjasama dengan penuh harmoni dan
mesra.



Kita juga rindukan pemimpin yang memberi kasih kepada pengikut dan
sebaliknya. Dan kita ingin melihat orang bukan Islam kasih pada orang
Islam dan sebaliknya! Ya, kita ingin melihat dunia kembali damai, aman,
harmoni dan makmur dengan wujudnya kasih sayang sesama manusia. Untuk
itu mari kita cetuskan sebab-sebab untuk orang lain, sekalipun bukan
sebangsa dan seagama apa lagi kalau sekeluarga dan seagama, agar
cenderung dan jatuh hati pada kita. Bila masing-masing mengusahakannya,
maka kita pun menyayangi dan disayangi.



Dari sana, moga-moga impian dan kerinduan kita menjadi kenyataan!
Kesilapan manusia hari ini, di samping membiarkan rasa benci-membenci
terus subur, tidak pula mengusahakan untuk sayang-menyayangi.
Sebaliknya lebih mengalih perhatian kepada benda dan makhluk-makhluk
yang lain. Melupakan tanggungjawab untuk membina kasih sayang sesama
manusia. Kemudian mencari jalan lain untuk menjauhkan lagi dan
tanggungjawab tersebut. laitu mengalih perhatian dan kasih sayang
kepada benda-benda, pokok-pokok, binatang, barang-barang antik dan
sebagainya.

Benda-benda kecintaan ditatang-tatang, dibelek-belek dan dijaga
sungguh-sungguh. Binatang kesayangan dibelai-belai, dilayan dan dikawal
hingga dibuat undang-undang, sesiapa yang membunuh binatang didenda.
Barang-barang antik dipuja-puja dan dijaga di muzium-muzium dan
lain-lain dengan istimewa sekali. Begitu juga pokok-pokok dan bunga
hiasan, begitu disayangi dan dari semasa ke semasa rasa sayang itu
disuburkan! Memang tidak ada salahnya perkara-perkara itu.



Tapi apalah ertinya kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan.
Maksudnya, tanggungjawab yang asasi dan penting diabaikan, sebaliknya
dibuat kerja-kerja yang tidak penting. Ibarat orang menghidangkan kita
berbagai macam laukpauk, tetapi tidak disertakan nasi. Apa perasaan
kita? Apa ertinya pokok di hutan tidak dipotong tetapi badan manusia
dipotong dan dibunuh? Pokok-pokok, benda-benda, barang antik dan
binatang kalau tidak disayangi dan tidak diberi perhatian, tidak
memberi kesan negatif pada kita. Tetapi anak-anak yang tidak dapat
kasih sayang akan jadi penyakit masyarakat.Orang miskin yang terbiar
tanpa diberi simpati akan buat masalah dalam masyarakat. Orang yang
bukan seagama dan sebangsa yang tidak mendapat perhatian dan kasih
sayang akan mencari pasal untuk membalas dendam dan geram.



Demikian kalau manusia tidak berkasih sayang, kesannya sungguh negatif
dan bahaya sekali. Dunia hari ini begitu ketandusan kasih sayang.
Keadaannya genting sekali. Manusia saling benci-membenci iaitu
kebalikan dari berkasih sayang. Akibatnya masing-masing saling mencari
jalan untuk menyusahkan orang lain. Masing-masing saling berprasangka
dan saling mencurigai. Paling tidak, saling tidak mempedulikan dan
tidak ambil tahu. Usaha-usaha untuk mengatasinya hampir-hampir tidak
ada sama sekali. Kalaupun ada, tidak berkesan. Kerana caranya tidak
tepat dan tidak membawa kesan yang berkekalan.

No comments:

Post a Comment

Salam ukhwah fillah.. harap sudilah follow